RIO DE JANEIRO, 6 Februari-Bekas pemain pertahanan kiri Real Madrid, Marcelo, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional pada Khamis selepas melalui karier yang gemilang.
Pemain berusia 36 tahun itu menghabiskan 16 tahun bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, menyaksikannya memenangi enam gelaran La Liga dan lima trofi Liga Juara Eropah
"Pada usia 18 tahun, Real Madrid datang mengetuk pintu dan saya tiba di sini," kata Marcelo dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.
"Kini, saya dengan bangganya boleh mengatakan bahawa saya adalah seorang 'MadrileƱo' sejati.
"Perjalanan yang luar biasa. Real Madrid adalah kelab yang unik", katanya.
Sepanjang tempoh bersama Los Blancos, Marcelo turut memenangi dua gelaran Copa del Rey dan empat kali Piala Kelab Dunia, dengan jumlah 546 penampilan serta menjaringkan 38 gol.
"Beliau adalah salah seorang bek kiri terbaik dalam sejarah Real Madrid dan bola sepak dunia.
"Kami berpeluang menyaksikannya beraksi untuk tempoh yang lama," kata Presiden Real Madrid, Florentino Perez, dalam satu kenyataan.
"Dia adalah antara legenda terhebat kami, dan Real Madrid adalah serta akan sentiasa menjadi rumahnya", tambahnya menerusi kenyataan tersebut.
Marcelo turut membuat 58 penampilan bersama pasukan kebangsaan Brazil, bermain di Piala Dunia 2014 dan 2018 serta memenangi Piala Konfederasi FIFA 2013.
Beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi pingat perak di Olimpik 2012 serta gangsa di Olimpik Beijing 2008.
"Beraksi untuk negara saya sejak peringkat remaja adalah satu penghormatan besar," tambahnya.
"Dalam ingatan saya, saya akan sentiasa menghargai dua pingat Olimpik dan satu Piala Konfederasi", katanya.
Marcelo memulakan kariernya bersama kelab Brazil, Fluminense, sebelum berhijrah ke Real Madrid.
Selepas meninggalkan Santiago Bernabeu, beliau menyertai kelab Greece, Olympiakos, tetapi menamatkan kontraknya selepas hanya lima bulan untuk kembali ke Fluminense.
Marcelo membantu kelab lamanya itu memenangi Copa Libertadores buat kali pertama dengan menewaskan Boca Juniors dalam perlawanan akhir 2023.
Beliau meninggalkan kelab itu dengan persetujuan bersama pada November lalu dan tidak lagi beraksi sejak itu.-AFP.