LUSAIL, 13 April- Marc Marquez mempamerkan aksi mantap apabila menewaskan adik kandungnya, Alex Marquez, untuk menjuarai perlumbaan pecut MotoGP Qatar pada Sabtu dan sekali gus merampas kembali kedudukan teratas dalam carta keseluruhan.
Alex, yang mendahului carta dengan kelebihan satu mata sebelum hujung minggu ini, bersaing sengit bersama Marc sepanjang perlumbaan sebelum akur di tempat kedua.
Kedua-dua pelumba berjaya melepasi Franco Morbidelli (VR46 Ducati) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, ketinggalan hampir empat saat.
Juara bertahan, Jorge Martin, yang baru pulih daripada kecederaan, menamatkan perlumbaan pertamanya musim ini di tangga ke-16 selepas bergelut sepanjang sesi.
Marc, dalam musim pertamanya bersama jentera factory Ducati, kembali mempamer dominasi selepas insiden tergelincir semasa mendahului di Grand Prix of the Americas. Di Qatar, beliau meraih petak pertama buat kali keempat berturut-turut dan mengekalkan rekod sempurna dalam perlumbaan sprint musim ini.
“Saya ttidak jangka prestasi seoerti ini sebab biasanya saya ada masalah di Qatar. Tapi kali ni saya rasa sangat selesa dan dapat kawal perlumbaan dengan baik,” ujar Marc selepas perlumbaan.
Alex pula terus kekal konsisten, menamatkan kesemua empat perlumbaan sprint dan tiga perlumbaan utama musim ini di tempat kedua.
“Saya sudah cuba sedaya upaya. Tapi hari ni Marc lebih baik,” kata pelumba Gresini itu.
Pelumba muda Sepanyol, Fermin Aldeguer, terus mencuri tumpuan dengan aksi agresif, memintas Fabio Quartararo di pusingan akhir untuk menduduki tempat keempat.
Sementara itu, Francesco Bagnaia, juara GP Austin memulakan perlumbaan dari petak ke-11 namun berjaya bangkit ke tangga kelapan dan meraih dua mata, mengekalkan kedudukan ketiga keseluruhan.-AFP