SAKHIR, 13 April- Pelumba McLaren, Oscar Piastri mencipta kejutan apabila berjaya merangkul petak pertama Grand Prix Bahrain pada Sabtu, sekali gus menambah tekanan kepada pendahulu kejuaraan Lando Norris dan juara bertahan Max Verstappen.
George Russell dari Mercedes bakal bermula di barisan hadapan bersama Piastri, manakala pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan rookie sensasi Mercedes, Kimi Antonelli melengkapkan barisan kedua.
Norris, yang mengetuai kedudukan kejuaraan dengan kelebihan hanya satu mata ke atas Verstappen, terpaksa akur bermula dari barisan ketiga di samping Pierre Gasly (Alpine), yang mengejutkan ramai dengan catatan masa kelima terpantas.
Verstappen pula jelas bergelut sepanjang sesi kelayakan, sekadar bermula di barisan keempat, isyarat jelas bahawa hujung minggu di Bahrain bukanlah milik Red Bull.
Ferrari pula menunjukkan peningkatan ketara hasil naik taraf terbaru mereka, dengan Leclerc kembali bersaing di hadapan selepas beberapa perlumbaan hambar sebelum ini.
Piastri, yang juga pemenang GP China bulan lalu dan kini menduduki tempat ketiga dalam kejuaraan dunia, tampak yakin sejak sesi latihan bebas lagi.
“Saya rasa selesa sejak dari FP3. Masa kelayakan tadi, pesaing makin dekat tapi saya berjaya deliver masa penting, jadi saya sangat puas hati,” kata Piastri.
“Sekarang, saya hanya perlu pastikan saya tiba di Turn 1 sebagai pendahulu.”
Sementara itu, Norris mengakui kecewa. “Saya memang tidak cukup laju. Itu je.”
Statistik menunjukkan empat daripada lima pelumba yang bermula dari petak utama menang di Bahrain, peluang Piastri untuk mengurangkan jurang kejuaraan semakin cerah.-AFP