KUTUB UTARA, 11 Julai - Demi memastikan persiapan rapi, peserta Maraton Kutub Utara 2025 tidak membuang masa menjalani latihan walaupun berada di atas kapal pemecah ais yang sedang dalam perjalanan ke destinasi perlumbaan.
Kapal pemecah ais Perancis, Le Commandant Charcot yang membawa kumpulan pelari ke kawasan kutub sebelum perlumbaan bermula 13 Julai ini pada Ahad.
Kapal pemecah ais Perancis, Le Commandant Charcot / Foto REUTERS
Ketika menghampiri kawasan perlumbaan, beberapa ekor beruang kutub dilaporkan kelihatan berkeliaran di atas kepingan ais, menambahkan lagi cabaran buat peserta yang bakal berlari sejauh 42 kilometer dalam keadaan ekstrem.
"Sudah tentu cuaca akan sangat sejuk dan tiada siapa tahu, mungkin seekor beruang kutub akan muncul. Jadi, lebih baik kami terus berlari," kata peserta dari Britain, James Elliot Square.
Peserta menggunakan ruang dek dan helipad kapal untuk menjalani latihan dengan berlari dalam pusingan kecil sebagai rutin pemanasan badan sebelum bermula perlumbaan sebenar.
"Saya rasa cabaran utama adalah apabila kapal sentiasa bergerak, walaupun kami berlari keliling kapal, ia tetap tidak stabil, tetapi ia bagus untuk biasakan diri dengan suhu sejuk. Saya tidak sabar menantikan hari perlumbaan," kata peserta daripada Amerika Syarikat, Dawn Doucette.
Dalam perkembangan sama, kapal Le Commandant Charcot yang berfungsi sebagai kapal pelayaran penyelidikan turut dilengkapi dengan pelbagai makmal dan peralatan saintifik bagi tujuan kajian berkaitan ais di kawasan Artik.
Pegawai Sains Kapal, Gwenael Trividic berkata, pihaknya semakin bimbang dengan trend penurunan ketebalan ais di Kutub Utara dan Lautan Artik sejak kebelakangan ini.
"Kami menggunakan sistem sensor dan Sea Ice Measurement System untuk mengumpul data dan memahami corak perubahan ais demi kajian jangka panjang," katanya.
Maraton Kutub Utara melibatkan laluan sejauh kira-kira 42 kilometer (km) yang dibahagikan kepada 10 pusingan, masing-masing sejauh 4.2 km di atas permukaan ais beku. - REUTERS