MADRID, 11 Julai - Pemain pertahanan Athletic Bilbao, Yeraz Alvarez digantung selepas gagal ujian 'doping' susulan perlawanan Liga Europa menentang Manchester United, Mei lalu.
Menurut Alvarez, beliau didapati positif selepas kekalahan 3-0 di tempat sendiri dalam aksi separuh akhir kejohanan tersebut.
Bilbao turut tewas 4-1 dalam perlawanan timbal balik.
Pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan, keputusan ujian tersebut berpunca daripada pengambilan ubat mencegah keguguran rambut yang mengandungi bahan terlarang tanpa pengetahuannya.
"Selepas mengkaji kes ini, kami mengenal pasti bahawa saya positif kerana secara tidak sengaja mengambil ubah pencegah keguguran rambut yang mengandungi bahan terlarang," katanya dalam satu kenyataan di media sosial pada Khamis.
Alvarez yang disahkan menghidap kanser testis pada 2016 berkata, ubat berkenaan diambil sebagai sebahagian daripada rawatan alopecia yang dialaminya.
"Prosedur tatatertib kini masih dalam siasatan dan tertakluk kepada kerahsiaan. Oleh itu, saya digantung sementara dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan awam.
Saya amat kesal dengan situasi ini namun dengan sokongan kelab, saya sedang bekerja keras untuk membela diri dan berharap dapat kembali ke padang secepat mungkin," katanya lagi.
Kes berkenaan kini di bawah siasatan Kesatuan Bola Sepak Eropah (EUFA) yang memaklumkan tidak akan mengulas lanjut sehingga keputusan tatatertib dimuktamadkan.
Sementara itu, Bilbao menyatakan sokongan penuh terhadap Alvarez yang merupakan produk akademi kelab itu dan telah membuat 257 penampilan bersama pasukan utama dalam semua kejohanan. - REUTERS