SHANGHAI, 11 Julai – Bintang muda bola sepak Sepanyol yang semakin meningkat naik, Lamine Yamal, menyatakan hasratnya untuk menjadi antara pemain terhebat dalam sejarah dengan mengukir kisahnya sendiri dalam sukan tersebut.
Yamal, 17, menerima sambutan hangat daripada peminat ketika mengunjungi Final Kebangsaan Liga Bola Sepak Sekolah Menengah China 2024-2025 di Shanghai, pada Rabu.
Dalam temu bual bersama China Global Television Network (CGTN), pemain sayap Barcelona itu berkongsi kata-kata semangat kepada para peminat muda dan menegaskan bahawa impian yang tinggi boleh menjadi kenyataan.
“Ini adalah satu mimpi. Sewaktu kecil, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penjaring terbanyak mana-mana pasukan atau pemain paling terkenal. Saya hanya berharap suatu hari nanti akan ada seorang budak memakai jersi dengan nama saya di belakang. Saya mahu menjadi idola sebenar. Saya mahu seorang pelajar berkata, ‘saya mahu jadi seperti Lamine Yamal.’ Sekarang saya telah capai mimpi itu, dan lebih daripada apa yang saya bayangkan,” katanya.
“Bagi budak seperti saya, dapat datang ke China dan disambut peminat adalah mimpi yang menjadi kenyataan. Kini saya hanya menikmati semuanya. Tiada tekanan lagi, tekanan sebenar adalah ketika saya masih belum pasti sama ada boleh menjadi pemain profesional, ketika saya pergi ke sekolah tanpa tahu apa masa depan saya. Tapi sekarang ibu bapa saya boleh menarik nafas lega, dan saya telah menjadi idola kepada ramai orang. Jadi saya hanya perlu menikmati semua ini,” tambahnya.
Walaupun telah diiktiraf sebagai antara pemain muda terbaik dunia, Yamal tetap merendah diri dan mengakui masih menyanjung tinggi idola-idolanya, khususnya legenda Argentina, Lionel Messi. Namun, beliau mahu mencipta laluan karier yang berbeza.
Yamal kini menjadi harapan baharu bola sepak Sepanyol dan Barcelona, dengan ramai pihak menjangkakan masa depan yang gemilang buat pemain muda berbakat besar ini. -REUTERS