fb fb fb fb fb

Pogacar rampas semula jersi kuning di Mur de Bretagne

Pogacar rampas semula jersi kuning Tour de France 2025 / Foto AFP

PERANCIS, 11 Julai - Tadej Pogacar merampas semula jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan Tour de France 2025 selepas memenangi peringkat ketujuh yang berakhir dengan pendakian mencabar di Mur de Bretagne di sini pada Jumaat.

Juara bertahan dari Slovenia itu mempamerkan kepakaran mendaki dengan melakukan henjutan bertenaga di cerun pendek dan curam sejauh 2 kilometer yang menjadi sebahagian daripada sejarah perlumbaan paling berprestij dunia itu.

Pelumba pasukan Visma, Jonas Vingegaard, menamatkan saingan di tempat kedua, hanya di belakang Pogacar di garisan penamat, manakala pelumba muda Britain, Oscar Onley, melengkapkan kedudukan tiga teratas.

Aksi penamat dicemari insiden kemalangan membabitkan sembilan pelumba yang berlaku ketika menghampiri garisan, namun tidak menjejaskan kedudukan podium.

Pogacar turut meraih 10 saat masa bonus berbanding enam saat yang dikutip Vingegaard, sekali gus menjarakkan lagi kedudukan antara kedua-dua pencabar utama itu.

Dalam kedudukan keseluruhan, pelumba Belgium, Remco Evenepoel kini naik ke tempat kedua, 54 saat di belakang Pogacar selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam, dua saat di belakang pemenang.

Pelumba muda Perancis yang semakin menyerlah, Kevin Vauquelin, kini di tempat ketiga keseluruhan, ketinggalan 1 minit 11 saat.

Vingegaard pula menghuni tangga keempat dengan perbezaan 1 minit 17 saat.

Mathieu van der Poel, yang memakai jersi kuning semalaman, jatuh ke tempat kelima keseluruhan (1:29 minit) selepas gagal mengekalkan rentak ketika pendakian terakhir, lokasi sama beliau pernah mencipta detik gemilang dengan kemenangan dan jersi kuning pertamanya pada edisi 2021.

Perlumbaan hari ini menyaksikan peloton mendaki dua kali laluan Mur de Bretagne, yang mempunyai purata kecerunan enam peratus.

Cuaca panas dengan suhu mencecah 30 darjah Celsius menyaksikan ratusan ribu penyokong membanjiri laluan desa dan kampung sekitar Brittany, yang kembali menjadi hos selepas empat tahun.

Seramai 179 pelumba memulakan kayuhan dari Saint Malo di barat laut Perancis dengan latar keindahan Pantai Sillon yang terkenal dengan tembok granit dan bangunan mewah di pesisir.

Bagaimanapun, jumlah pelumba dijangka berkurangan untuk peringkat seterusnya menuju ke Laval esok susulan tahap kecergasan dua pelumba utama masih diragui iaitu pelumba dari UAE Team Emirates, Joao Almeida dan pelumba Colombia, Santiago Buitrago. - AFP

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE