fb fb fb fb fb

Man United berpesta gol benam Barnsley

Foto REUTERS

LONDON, 18 September - Manchester United mara ke pusingan 16 terakhir Piala Liga selepas menewaskan kelab divisyen tiga, Barnsley 7-0.

Sekaligus menjadi kemenangan terbesar dicipta pengendali United, Erik ten Hag sejak mengambil alih pasukan pada tahun 2022.

Alejandro Garnacho, Marcus Rashford dan Christian Eriksen masing-masing meledak dua gol pada perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, penyerang England, Rashford hanya memerlukan 16 minit untuk merobek gawang Barnsley.

Kemudiannya Antony menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua United pada minit ke-35 dan Garnacho menjaringkan gol ketiga di akhir babak pertama.

Garnacho meledak gol keduanya hasil hantaran Rashford sejurus selepas rehat dan membalasnya dengan mengumpan bola untuk gol kedua Rashford.

Eriksen pula menjaringkan gol dengan menyempurnakan hantaran minit ke-81 Bruno Fernandes.

Dia kemudian meledak gol keduanya untuk melengkapkan kemenangan terbesar United dalam saingan Piala Liga dan jurang kemenangan terbesar sepanjang era Ten Hag.

"Saya rasa gol pertama oleh Marcus sangat baik, tetapi begitu juga yang lain. Kami bermain lebih pantas dan tajam di depan gawang.

"Kuncinya adalah sikap yang betul dan fokus 100 peratus," kata Ten Hag.

Turut mara ke pusingan keempat adalah pesaing Liga Perdana Inggeris, Brentford yang menewaskan Leyton Orient 3-1, dan Crystal Palace selepas mereka mengatasi Queen's Park Rangers 2-1.

Fulham pula disingkirkan oleh kelab Liga Kejuaraan, Preston North End yang menang 16-15 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1. - REUTERS

Trainee2