fb fb fb fb fb

Liga Super: Kemarau kemenangan Sabah berterusan, tewas kepada Selangor

Penyerang Selangor FC Kevin Deeromram cuba melepasi dua pemain pertahanan Sabah FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November- Sabah FC terus kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan Liga Super musim ini selepas tumpas 1-2 kepada Selangor FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas.

Pada aksi tersebut Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 apabila Fergus Tierney menanduk masuk hantaran lintang daripada Miguel Cifuentes.

Menuju hujung minit separuh masa pertama, Selangor menyamakan kedudukan menerusi Alves Fortes yang menghukum pasukan tuan rumah selepas pertahanan Sabah FC gagal mengeluarkan bola dengan kemas dari kotak penalti.

Memasuki babak kedua, skuad Sang Badak sekali lagi dibolosi pada minit ke-59 menerusi Faisal Halim yang bijak memanfaatkan kesilapan pasukan tuan rumah untuk menjaringkan gol kemenangan Selangor.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Gergasi Merah berjaya meraih tiga mata untuk berada di tangga kelima Liga Super manakala Sabah di tangga ke-10.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pula, Kuala Lumpur (KL) City FC meneruskan rentak tanpa kalah dalam aksi Liga Super musim ini apabila menewaskan Kelantan The Real warriors 2-1.

Aksi separuh masa pertama perlawanan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan sama kuat apabila tiada sebarang jaringan dihasilkan.

Bagaimanapun, KL City berjaya membolosi gawang Kelantan dua kali pada separuh masa kedua menerusi Kpah Sherman dan Zhafri Yahya masing-masing pada minit ke-65 dan 81.

Ketika perlawanan seolah berakhir dengan keputusan 2-0, pasukan pelawat berjaya membolosi gawang KL City menerusi Muhammad Syafik Ismail pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuching City FC berpesta gol apabila membelasah tuan rumah PDRM FC 5-0.

Pesta gol pasukan pelawat bermula pada minit ke-13 menerusi jaringan Yuki Tanigawa sebelum Wanja Ronald Ngah meledak hatrik masing-masing pada minit ke-20, 31 dan 37 untuk meletakkan Kuching City 4-0 di hadapan pada separuh masa pertama.

Pemain sayap Kuching City, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menambah derita tuan rumah apabila meledak gol pada minit ke-54 sekali gus melengkapkan kemenangan 5-0 ke atas PDRM. -BERNAMA

SITI NOORAIN ABDULLAH