fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

Malaysia tuai pingat ke-21 negara

HANGZHOU, 2 Oktober- Skuad e-sukan Dota2 menyumbang gangsa ke-14 dan pingat ke-21 keseluruhan negara selepas menewaskan Kyrgyzstan di Pusat e-sukan Hangzhou China.

Skuad negara dibarisi Chan Kok Hong, Cheng Jin Xiang, Ng Wei Poong, Thiay Jun Wen, Tue Soon Chuan dan Yap Jian Wei tidak berdepan masalah menumbangkan lawan dengan kemenangan 2-0.

Namun pingat gangsa berkenaan masih tidak dapat memberikan kepuasan buat para pemain dan jurulatih yang terdiri pemain professional.

Bagaimanapun jurulatih skuad itu Chai Yee Fung, tetap memuji prestasi keseluruhan pasukan meskipun tidak mencapai sasaran awal ditetapkan iaitu meraih pingat emas.

"Sejujurnya pingat gangsa ini bukan target kami, kerana kami menyasarkan emas bagi e-sukan ini. Sebenarnya kami mengharapkan lebih namun setidaknya kami menang pingat gangsa," katanya ketika ditemui RTM di sini.

Bagi Pengurus Skuad e-sukan Wong Kang Woon,"e-sukan ini tengah berkembang dan saya berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mana-mana pihak boleh bekerjasama untuk melangkah ke aksi yang seterusnya."

Dota2 merupakan acara terakhir skuad e-sukan kebangsaan yang sebelum ini turut menyertai tiga lagi permainan iaitu, Street Fighter, Arena of Valor (AOV) dan League of legends.

Skuad e-sukan berjaya membawa pulang satu perak menerusi AOV dan satu gangsa melalui Dota2 sekali gus menepati sasaran kontijen.

Dalam perkembangan badminton, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas bangkit mengatasi wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long.

Wakil Malaysia yang berada di ranking ke-16 dunia itu bermula goyah dengan membenarkan lawan lebih menguasai set pertama sebelum tewas 15-21.

Enggan terus berputih mara, Zii Jia bangkit dengan aksi lebih bertenaga pada dua set berikutnya untuk menang 21-15, 21-16.

Bekas juara All England itu akan berdepan wakil Timor Leste, Maurinho Gusmao de Jesus pada pusingan kedua.

Sementara itu pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasangan Taiwan, Li Ching Yao-Yang Po Han 21-23, 21-12, 23-21.

Turut mara ke pusingan kedua, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menyingkirkan gandingan Singapura, Andy Kwek-Crystal Wong 21-17, 21-13 di Gimnasium Binjiang.

Sementara itu bagi uartet 4X100 meter negara juga berpeluang menambah kilauan pingat selepas melayakkan diri ke pusingan akhir yang bakal berlangsung esok.

Gandingan bekas pemegang rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang turun pada saringan pertama pagi tadi mencatat masa 39.40 saat.

Larian bertenaga ditampilkan berjaya meletakkan mereka di kedudukan ketiga di belakang kuartet tuan rumah dan Korea Selatan.

Catatan hari ini, sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan 39.09 saat yang dilakukan Muhammad Azeem, Muhammad Arsyad, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail di Sukan SEA Hanoi, pada Mei 2022.

Saingan akhir dijadualkan pada pukul 9.25 malam, esok.