fb fb fb fb fb

Malaysia terus dominasi basikal trek, pingat ke-200 jadi milik negara

Pelumba basikal trek negara Abdul Azim Aliyas, Newjoe Lau, Muhammad Hafiq Mohd Jafri, Muhammad Yusri Shaari dan Muhammad Adam Hakimi Nazuan bergambar bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA Thailand 2025/Foto BERNAMA

THAILAND, 18 Disember – Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 200 pingat di Sukan SEA Thailand 2025 selepas skuad berbasikal trek negara menghadiahkan pingat emas menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki di Velodrom Hua Mark, Bangkok, hari ini.

Kuartet negara yang dibarisi Abdul Azim Aliyas, Muhammad Hafiq Mohd Jafri, Muhammad Yusri Shaari, Newjoe Lau dan Muhammad Adam Hakimi Nazuan mempamerkan kayuhan konsisten dan tersusun pada perlumbaan akhir untuk menewaskan cabaran tuan rumah Thailand.

Pasukan Thailand yang diwakili Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas gagal menandingi rentak wakil negara.

Kejayaan itu bukan sahaja mengukuhkan dominasi Malaysia dalam acara berbasikal trek, malah menjadi pingat ke-200 kontinjen negara pada temasya kali ini, sekali gus menepati sasaran keseluruhan yang ditetapkan.

Sementara itu, cabaran Indonesia tidak kesampaian apabila pasukan berkenaan dibatalkan penyertaan pada pusingan kelayakan, sekali gus tersingkir daripada perebutan pingat.

Dalam satu lagi kejayaan di velodrom sama, pelumba wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir, akhirnya menamatkan penantian dengan meraih pingat emas acara scratch wanita.

1812 SKN BERBASIKAL LENGKAP SASARAN 2Nur Aisyah Mohamad Zubir/Foto BERNAMA

Pelumba berusia 28 tahun itu memulakan perlumbaan dengan pendekatan berhati-hati, berada dalam kelompok belakang sebelum menunggu detik sesuai untuk melancarkan serangan. Pada pusingan terakhir, Aisyah mempamerkan kayuhan bertenaga dan strategi tepat apabila memintas empat pelumba di hadapan untuk menjuarai acara tersebut.

Pingat perak dimenangi atlet Singapura, Valencia Tan, manakala gangsa menjadi milik wakil Indonesia, Ayustina Delia Priatna.

Kejayaan itu lebih bermakna bagi Aisyah selepas terlepas peluang meraih emas dalam dua acara lebuh raya sebelum ini, iaitu kriterium dan individu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN