fb fb fb fb fb

Malaysia sasar 200 pingat di Sukan SEA Thailand 2025

Nurul Huda Abdullah, Ketua Kontinjen Malaysia / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember -Malaysia menetapkan sasaran 200 pingat keseluruhan pada Sukan SEA Thailand 2025 yang membuka tirai minggu depan.

Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah berkata, angka itu diputuskan selepas bengkel sasaran pingat diadakan pada 29 November lalu melibatkan semua persatuan sukan kebangsaan.

“Berdasarkan data prestasi lalu dan pencapaian semasa atlet, kami menetapkan sasaran 200 pingat.

Ini angka realistik dan kami bertanggungjawab terhadap sasaran ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengekalkan pendekatan baharu tanpa menetapkan sasaran warna pingat, bagi memberi ruang kepada atlet bertanding tanpa tekanan tambahan.

Malaysia akan menghantar 1,142 atlet yang mewakili negara dalam 50 jenis sukan, menjadikan ini kontinjen terbesar pernah dihantar ke Sukan SEA.

Sementara itu, Nurul Huda mengumumkan atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar, dan ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya di Thailand.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN