fb fb fb fb fb

KBS beri lampu hijau Kim Swee ketuai AMD

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media selepas hadir ke kursus latihan asas sukan sepak takraw (KLAS) di SJKC Kwong Hon Sungai Besi hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember -Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyarankan Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, syor itu selari dengan hasrat memberi ruang lebih besar kepada jurulatih tempatan dalam pembangunan bola sepak negara.

“Memang syor FAM jawatankuasa teknikal untuk mengambil Datuk Ong. Kita akan perakui kerana teknikal memang FAM yang tentukan, manakala MSN akan pantau.

Saya lihat langkah ini bagus kerana kita mahu lebih ramai jurulatih tempatan memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepak Takraw Perpaduan Kaum 2025.

Semalam media melaporkan, Kim Swee dijangka memulakan tugas seawal 1 Januari depan.

Beliau pernah membawa Harimau Muda merangkul emas Sukan SEA 2011 dan kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Persik Kediri.

Dalam perkembangan lain, Hannah turut mengesahkan penyerahan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) kepada FAM ditangguhkan sementara.

Penangguhan itu susulan isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain naturalisasi baru-baru ini.

NFDP yang dilancarkan pada 2014 kekal diterajui Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga proses penyerahan dapat diteruskan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN