KUALA LUMPUR, 28 Julai - Kontinjen Malaysia menyasarkan untuk merangkul 15 pingat emas pada kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Tenggara di Jakarta, Indonesia yang dijadual berlangsung bulan depan.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, skuad negara akan bersaing dalam enam acara utama termasuk badminton, tenpin boling, catur dan pingpong dalam kejohanan tersebut.
Beliau berkata, persiapan rapi telah dimulakan sejak tahun lalu bagi memastikan atlet negara tampil beraksi cemerlang dan mengharumkan nama negara.
"Kami sangat menekankan persiapan kontinjen Malaysia untuk Sukan Orang Pekak Asia Tenggara pada Ogos ini dan Sukan Deaflympic di Jepun pada November nanti.
"Fokus utama adalah untuk meraih pingat dalam kedua-dua kejohanan tersebut sebagai bukti kebolehan dan daya saing atlet orang pekak Malaysia di pentas antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MSDeaf di sini, semalam
Beliau berkata, pihaknya juga akan memperkasa lagi pembangunan sukan wanita, yang mana pelbagai acara dan aktiviti telah dirancang khusus untuk memfokuskan penglibatan golongan itu dalam arena sukan.
“Barisan exco akan memastikan penyertaan wanita dipertandingkan dalam pelbagai kategori dan melahirkan ramai atlet pelapis bermula dari peringkat sekolah di seluruh negeri sehingga ke tahap tertinggi," katanya.
Dalam perkembangan sama, MSDeaf turut optimis mampu meraih tiga pingat emas dalam acara badminton, boling dan atletik pada temasya Sukan Deaflympic Tokyo di Jepun pada November ini.