fb fb fb fb fb

England pertahan kejuaraan Euro Wanita

England julang kejuaraan Euro Wanita 2025 selepas menumpaskan Sepanyol 3-1 dalam penentuan penalti - Foto AFP

BASEL, 28 Julai - England berjaya mempertahankan kejuaraan Euro Wanita selepas menewaskan Sepanyol 3-1 menerusi penentuan penalti di pentas akhir penuh dramatik awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stadium St. Jakob-Park, di sini, kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan.

Sepanyol terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-25 hasil tandukan Mariona Caldentey selepas menerima hantaran lintang Ona Batlle.

Namun, England bangkit pada babak kedua dan menyamakan kedudukan menerusi Alessia Russo yang menanduk masuk hantaran daripada Chloe Kelly pada minit ke-57.

2807 SKN ENG JUARA EURO WANITA 2England mempertahankan kejuaraan Euro Wanita - Foto AFP

Sepanyol terus mendominasi permainan dan mencipta beberapa peluang sepanjang masa sebenar dan tambahan, tetapi gagal menembusi pertahanan kental England.

Perlawanan berlanjutan ke penentuan penalti, di mana penjaga gol England, Hannah Hampton, menjadi wira dengan menyelamatkan dua sepakan penting daripada Caldentey dan Aitana Bonmati.

Sepanyol turut mensia-siakan satu lagi peluang apabila tendangan Salma Paralluelo tersasar.

Chloe Kelly kemudian muncul sebagai wira apabila menyempurnakan sepakan terakhir England, mengulangi detik gemilang Euro 2022, sekali gus memastikan kejuaraan kedua berturut-turut buat pasukan The Lionesses.

Perlawanan akhir tersebut juga merupakan kali pertama ditentukan menerusi sepakan penalti sejak edisi sulung Euro Wanita pada 1984. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK