fb fb fb fb fb

Malaysia kemukakan rayuan selepas pengecualian karate, Wusyu

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria/Foto BERNAMA

 KUALA LUMPUR, 21 Jun - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk memasukkan beberapa sukan berpotensi pingat bagi Malaysia dalam Sukan SEA 2025 di Thailand.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, badan induk itu dalam proses mengumpul maklum balas daripada persatuan sukan kebangsaan terlibat untuk mengemukakan rayuan bagi menyenaraikan sukan-sukan berpotensi tersebut sebelum tarikh tutup 31 Ogos ini.

"Di bawah Piagam dan Peraturan SEAGF, setiap negara tuan rumah berhak untuk mencadangkan senarai sukan awal dari pelbagai kategori selepas perbincangan dengan kerajaan mereka. Ini tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Majlis SEAGF selepas mempertimbangkan rayuan dari negara-negara lain."

"Pertama, NSA tempatan mesti melobi dan kemudian sukan tersebut mesti mewakili majoriti daripada 11 negara yang bertanding, dengan setiap acara mesti mempunyai penyertaan minimum dari empat negara.

"Inilah proses yang akan diikuti oleh semua pihak, dan senarai akhir mesti disahkan sekurang-kurangnya 15 bulan sebelum majlis pembukaan, iaitu sekitar 9 Sept tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Kursus Penyegaran Pengadil Antarabangsa Taekwondo Kyorugi dan Poomsae Dunia di Wisma OCM di sini, hari ini.

Sebelum ini Thailand telah mencadangkan 40 sukan berserta cakera terbang dan tarik tali sebagai sukan demonstrasi.

Manakala karate, wusyu, ju-jitsu, boling padang dan sukan Olimpik angkat berat dikeluarkan daripada senarai tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN