KUALA LUMPUR, 10 Disember -Malaysia kembali menjadi tuan rumah Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) ke-11, yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober 2026 di Pulau Pinang.
Menurut Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr Ong Shin Ruenn, lebih 3,000 peserta dari 34 negara, termasuk Australia dan ASEAN, dijangka mengambil bahagian.
Jelas beliau, jumlah penyertaan itu menjadikan edisi kali ini yang terbesar dalam sejarah penganjuran APDG.
“Asia Pasifik telah memilih Malaysia sebagai negara angkat hasil hubungan erat antara Exco dan pentadbiran Asia Pasifik.
Kami memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran kerana kerjasama yang sangat baik dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman bersama Asia Pacific Deaf Sports Confederation di sini.
Tambah beliau, Malaysia akan menghantar kira-kira 70 atlet, merangkumi semua acara yang dipertandingkan di peringkat Asia Pasifik.
Beberapa venue telah dikenal pasti, termasuk di Universiti Sains Malaysia (USM), Butterworth, dan Taman Negara Pulau Pinang.
Malaysia turut menyerlah dalam beberapa acara seperti catur, badminton dan boling, dengan kejayaan terdahulu termasuk emas catur wanita pekak.
Ia sekali gus mengukuhkan potensi negara mempertahankan prestasi di peringkat Asia Pasifik.
Dr Ong turut memaklumkan bahawa APDG 2025 akan menjadi medan pemanas badan buat atlet sebelum Sukan SEA Pekak 2028, yang turut bakal berlangsung di Pulau Pinang.