fb fb fb fb fb

Malaysia kekal anjur AUG 2026

Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli / Foto RTM

SURABAYA, 25 Jun-Malaysia kekal menjadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) bagi edisi 2026 meskipun Kemboja cuba membida hak penganjuran bagi temasya dwitahunan itu.

Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli mengesahkan perkara tersebut sejurus selesai Mesyuarat Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) yang diadakan di Surabaya, pagi tadi.

"Ini adalah satu keputusan yang tepat dibuat oleh sekretariat AUSC sekali gus mengetepikan hasrat Kemboja yang tiba-tiba menyatakan hasrat mereka untuk mengambil alih menjadi tuan rumah edisi 2026.

"Dengan keputusan ini, saya rasa segala perancangan kita tidak akan terganggu walaupun kita ada tempoh waktu yang agak singkat di mana tidak sampai dua tahun untuk kita menyediakan kita selaku tuan rumah edisi seterusnya," ujar Pekan ketika ditemui di sini.

Malaysia yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi edisi 2024 telah menyerahkan hak penganjurannya di atas permintaan Indonesia yang akan berlangsung mulai hari ini sehingga 7 Julai di Surabaya dan Malang.

Susulan itu, edisi 2026 sewajarnya menjadi giliran Malaysia untuk menganjurkan namun Kemboja membuat keputusan untuk turut membida hak tuan rumah.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat Jawatankuasa AUSC di Indonesia, hari ini, AUSC memutuskan AUG 2026 kekal berlangsung di Malaysia.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan AUG adalah pada tahun 2008 dan ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas dianjurkan pada 1984 serta 1993.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD