fb fb fb fb fb

James Rodriguez, hero Colombia tewaskan Paraguay 2-1

Foto Reuters

HOUSTON, 25 Jun- James Rodriguez menjadi watak penting buat Colombia apabila mencipta hantaran tepat untuk menundukkan Paraguay 2-1, dalam aksi pembukaan Kumpulan D Copa America, awal pagi tadi.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan bekas juara 2001 itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada 24 perlawanan.

Gol separuh masa pertama terhasil daripada Daniel Munoz dan Jefferson Lerma memastikan kemenangan untuk Colombia, yang mendominasi majoriti perlawanan manakala Julio Enciso menjaringkan gol tunggal untuk Paraguay.

Kemenangan kesembilan berturut-turut Colombia mengekalkan rekod 19 kemenangan dan lima seri sejak Mac 2022, dengan kekalahan terakhir mereka tewas 1-0 kepada Argentina pada Februari 2022.

Munoz meletakkan Colombia sebagai pendahulu pada minit ke-32, apabila dengan mahir menanduk masuk hantaran lintang Rodriguez ke gawang.

10 minit kemudian, kapten Rodriguez membantu jaringan kedua menerusi sepakan percuma yang diambil, disempurnakan dengan tandukan Jefferson Lerma dalam menafikan penjaga gol Paraguay, Rodrigo Morinigo.

"Kami bekerja dari minit pertama, mencari rentak permainan. Kami tahu ia tidak akan mudah, walaupun pasukan bermain dengan baik dan berada dalam prestasi yang baik, jadi kami terpaksa memanfaatkan peluang menewaskan Paraguay."

"Nasib baik, kami menjaringkan dua gol yang memberikan kami pendahuluan yang baik untuk menyukarkan lagi mereka. Kami tenang. Saya tidak ragu-ragu bahawa kami akan mengharungi kejohanan dengan prestasi terbaik dan kami akan terus seperti ini," kata pemain sayap Colombia, Luis Diaz.

Paraguay meningkatkan usaha mereka pada separuh masa kedua, dengan Enciso melakukan hantaran lintang Ramon Sosa pada minit ke-69.

Colombia menyangka mereka mendapat penalti pada minit ke-84 selepas Gustavo Velazquez kelihatan mengheret Yerry Mina di dalam kotak, tetapi pengadil dinasihatkan untuk memeriksa monitor melalui VAR dan keputusan itu ditolak.

Paraguay bergelut untuk mencipta peluang menjaringkan gol pada masa tujuh minit masa kecederaan separuh masa kedua, ketika Colombia selesa untuk menoktahkan kemenangan.

Kedua-dua pasukan bersedia untuk kembali ke padang pada hari Jumaat, dengan Colombia berdepan Costa Rica di Glendale, Arizona dan Paraguay menentang Brazil di Las Vegas.

Brazil akan berdepan Costa Rica di California pada Isnin nanti.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM