fb fb fb fb fb

Paris: Hamidin usaha tambah kuota kad akreditasi pasukan Zii Jia

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin

KUALA LUMPUR, 26 Jun - Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin akan berusaha menambah kuota kad akreditasi untuk pasukan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia di Paris.

Hamidin yang melawat Zii Jia pada sesi latihan semalam berkata pemain ranking ketujuh dunia itu membuat permintaan untuk membawa rakan sepelatih dan pegawai fisioterapinya di temasya sukan berprestij dunia tersebut.

“Zii Jia dan jurulatihnya Wong Tat Meng sudah mengesahkan, mungkin akan usahakan dapat satu hingga dua lagi (kad akreditasi) dan penuhi hasratnya bermain dengan tenang.

“Ahli pasukannya yang lain akan tinggal di luar perkampungan sukan tapi kita juga ada pilihan lain seperti pas harian and paling tidak kami akan sediakan kenderaan untuk beliau keluar buat sesi pemulihan (rehab) pada masa tertentu,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata Zii Jia telah memaklumkan berhubung mahu melakukan kejutan pada penampilan keduanya dalam Sukan Olimpik selepas edisi 2020 di Tokyo.

Bagaimanapun, Hamidin menasihati pemain berusia 26 tahun itu, yang menyasarkan emas, agar menumpukan untuk mara ke peringkat suku akhir terlebih dahulu sebelum memikirkan ke peringkat lebih jauh di Paris.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata Zii Jia tidak akan menyertai sesi latihan bersama pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Lille, Perancis, bulan depan.

Sebaliknya, juara Terbuka Australia 2024 itu memilih untuk menjalani persiapan akhir di Singapura selama seminggu bermula hujung minggu ini.

“Zii Jia akan berlatih di Singapura bersama pemain negara tersebut dan Thailand. Kemudian, beliau akan pulang semula ke Malaysia untuk berlatih bersama pemain Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamidin kagum dengan semangat tinggi wakil negara untuk berjuang di Paris 2024 termasuk pemanah Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan penerjun Bertrand Rhodict Lises, yang menyatakan keazaman untuk membawa pulang pingat walaupun dua atlet tersebut bakal menjejakkan kaki buat kali pertama ke pentas Olimpik.

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF