(Tiga pemain negara iaitu Ahmad Khuzaimi Piee (kiri), V. Ruventhiran (kanan) dan
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (tengah)
PETALING JAYA, 18 November- Pemain tonggak pertahanan negara Ahmad Khuzaimi Piee percaya bukan mustahil untuk skuad Harimau Malaya beraksi pada Piala Dunia, suatu hari nanti.
Keyakinan itu susulan peningkatan prestasi dipamerkan skuad kebangsaan sejak dibimbing Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon.
Ahmad Khuzaimi yang beraksi bersama Negeri Sembilan FC berkata sekiranya rezeki berpihak kepada pasukan negara, Malaysia akan dapat beraksi pada Piala Dunia 2026 sekali gus mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak negara.
“Bagi saya soal rezeki kita tak boleh nak jangka, mungkin empat tahun akan datang Malaysia layak ke Piala Dunia kita tak tahu. Saya harap komitmen pemain yang dipanggil untuk mewakili negara dapat membantu mencipta sesuatu untuk negara dan peminat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berapa lama lagi perlu menunggu untuk melihat Malaysia akhirnya membuat kemunculan sulung di Piala Dunia, pada majlis pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya di sini.
Peluang Malaysia layak ke Piala Dunia kini semakin terbuka selepas rantau Asia diberikan sehingga sembilan slot pada penganjuran Piala Dunia 2026 yang buat kali pertama bakal menampilkan penyertaan sebanyak 48 pasukan berbanding 32 ketika ini.
Sementara itu, penjaga gol skuad kebangsaan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed turut senada dengan kedua-dua rakan sepasukannya itu sambil menyifatkan sebagai pemain, mereka akan sentiasa berusaha keras mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.
Keyakinan ketiga-tiga pemain negara itu tidak mengejutkan kerana Pan Gon pada sidang media pertamanya sebagai pengendali skuad kebangsaan pada Februari lepas, turut menyasarkan untuk membantu membawa Malaysia layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.
(Ahmad Khuzaimi Piee)
Bagi seorang lagi pemain , V. Ruventhiran yang beraksi buat pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC ketika diajukan soalan yang sama, turut percaya Malaysia akan beraksi di Piala Dunia tidak lama lagi.
“Tak lama lagi, sudah menghampiri peluang untuk layak ke Piala Dunia, kami percaya pada jurulatih sebagaimana kami percaya pada diri sendiri.
"Kita pasti dapat membanggakan negara, suatu hari nanti,” kata pemain berusia 21 tahun itu yang meraih 'cap' antarabangsa pertama menentang Brunei Mei lepas sebelum berada dalam pasukan negara yang mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 sebulan kemudian.