fb fb fb fb fb

Malaysia juara Piala Sultan Azlan Shah, tamatkan penantian 39 tahun

(Skuad hoki kebangsaan melakar sejarah apabila menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022
buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-2/ Foto BERNAMA) 

IPOH, 10 November - Malaysia menjulang kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan juara bertahan, Korea Selatan, 3-2 dalam aksi sengit dan mendebarkan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut menamatkan penantian 39 tahun untuk menjulang piala tersebut buat kali pertama, selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada tahun 2014, namun tewas kepada Australia 8-3.

Kejuaraan tersebut juga sekali gus menjadi penyuntik semangat skuad negara untuk menghadapi saingan Piala Dunia pada tahun depan.

Malaysia membuka jaringan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke -15 hujung suku pertama.

Bagaimanapun, Korea Selatan kembali mengikat kedudukan apabila berjaya memperolehi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-16 pada awal suku kedua menerusi pemain Jang Jonghyun.

Menerusi serangan balas pantas, skuad negara berjaya memperolehi pukulan penalti, selepas kesalahan yang dilakukan pemain Korea Selatan.


(Skuad hoki kebangsaan melakar sejarah apabila menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022
buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-2/ Foto BERNAMA) 

Kapten pasukan, Muhammad Razie Abd Rahim mudah menolak masuk bola untuk meletakkan The Speedy Tigers kembali di depan pada hujung babak ketiga.

Ketinggalan satu gol, Korea Selatan terus mengasak untuk gol penyamaan namun benteng pertahanan Malaysia yang diketuai Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menghalang serangan pasukan lawan. 

Sebaliknya, semangat pemain Malaysia terus membara untuk memburu gol. Semangat itu berjaya menambah jaringan pada minit ke-48 menerusi Muhammad Aminuddin Mohd Zain, sebelum anak buah Kim Byung Hoon merapatkan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Jeon Byungjin.

Kedudukan 3-2 berpihak kepada Malaysia itu kekal sehingga wisel penamat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut berkenan menyampaikan trofi kepada pasukan Malaysia.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan pada 1983 adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Dalam pada itu, Pakistan menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Jepun 5-3 semalam manakala Mesir menamatkan kempen di tempat kelima dengan mengalahkan Afrika Selatan 2-1.

Media Baharu