KUCHING, 19 Ogos- Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi edisi kedua Piala Dunia Kriket Wanita Bawah 19 Tahun (B-19) dari 18 Januari hingga 27 Februari tahun depan.
Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan Malaysia menjadi tuan rumah tunggal selepas Thailand menarik diri sebagai hos bersama bagi kejohanan dunia itu.
Sebanyak 41 perlawanan terdiri daripada 16 pasukan akan diadakan di empat venue di Selangor, Johor dan Sarawak.
Bayuemas Oval di Klang, Selangor akan menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan A melibatkan juara bertahan India, West Indies, Sri Lanka dan penampilan pertama Malaysia serta perlawanan akhir pada 2 Februari.
Perlawanan Kumpulan B terdiri daripada pasukan England, Pakistan, Ireland dan Amerika Syarikat dijadualkan di Akademi Kriket Dato’ Dr. Harjit Singh Johor (JCA Oval).
Padang Kriket Petra Jaya di Kuching akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan C melibatkan New Zealand, Afrika Selatan, Kelayakan Afrika dan Samoa, yang akan beraksi dalam Piala Dunia ICC buat kali pertama.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) YSD Oval di Bangi, Selangor akan menjadi tuan rumah bagi Australia, Bangladesh, Kelayakan Asia dan Scotland.
Pengarah Kejohanan Hos, Dinesh Muthuraman berkata Malaysia bangga menjadi tuan rumah kejohanan itu dengan meneruskan tradisinya menyokong pertumbuhan kriket di pentas global.
“Pada 2008, kami mendapat penghormatan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Lelaki B-19, di mana bintang semasa seperti Virat Kohli, Kane Williamson dan Trent Boult antara ramai yang lain, mempamerkan bakat mereka.
“Kini, tiba giliran kriket wanita dan kami yakin Piala Dunia T20 Wanita B-19 ini akan menjadi landasan pelancaran untuk legenda kriket generasi akan datang.
“Kriket wanita mengalami pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia dan di seluruh dunia. Kami yakin sepenuhnya bahawa Piala Dunia ini akan mempercepatkan lagi momentum itu, membawa kepada perkembangan ketara dalam sukan itu, terutama untuk kriket wanita,” katanya.
India dinobatkan sebagai juara pertama selepas menewaskan England dengan tujuh wiket semasa edisi sulung di Afrika Selatan, tahun lalu.- BERNAMA