fb fb fb fb fb

Maguire hero MU, singkirkan Leicester dari Piala FA

Foto AFP

MANCHESTER, 8 Februari- Harry Maguire menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir untuk membantu Manchester United bangkit daripada ketinggalan menewaskan Leicester City 2-1.

Kemenangan dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA itu sekali gus menggagalkan kepulangan penuh nostalgia Ruud van Nistelrooy ke Old Trafford.

Leicester mendahului menerusi jaringan Bobby De Cordova-Reid pada penghujung babak pertama, ketika United masih gagal mencari rentak mereka di laman sendiri.

Namun, kemasukan Alejandro Garnacho pada separuh masa kedua memberikan impak segera.

Pemain gantian, Joshua Zirkzee menyamakan kedudukan pada minit ke-67.

United terus menekan, memburu gol kemenangan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Maguire menanduk masuk sepakan percuma Bruno Fernandes pada minit ke-93.

Pengurus United, Ruben Amorim, yang masih bergelut untuk menerapkan falsafahnya di Old Trafford selepas tiga bulan mengambil alih pasukan, mengakui pasukannya tidak bermain dengan baik.

"Kami kurang tenaga, terutama di babak pertama.Separuh masa kedua lebih baik sedikit, dengan tempo lebih pantas dan keupayaan memenangi bola kedua.

"Akhirnya kami berjaya bangkit. Jadi, keputusan ini baik, tetapi prestasi kami tidak bagus. Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan pasukan bertambah baik," katanya kepada ITV.

Sementara itu, Pengurus Leicester, Van Nistelrooy, berang dengan keputusan pengadil kerana mendakwa Maguire berada dalam kedudukan ofsaid, tetapi tiada VAR digunakan untuk menyemak gol tersebut.

"Kami sepatutnya sekurang-kurangnya dapat bermain dalam masa tambahan dan berjuang sehingga ke penentuan penalti. Keputusan seperti ini sukar diterima," kata bekas penyerang United itu.

United, yang kini menghuni tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris, menamatkan jendela perpindahan Januari dengan kehilangan beberapa pemain utama di bahagian serangan selepas Marcus Rashford dan Antony dipinjamkan ke kelab lain.

Dalam perlawanan ini, mereka turut kehilangan khidmat pertahanan utama, Lisandro Martinez, yang mengalami kecederaan ligamen ketika kekalahan kepada Crystal Palace, minggu lalu.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM