KUALA LUMPUR, 9 Februari- Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mengakhiri saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 yang berlangsung di Porec, Croatia ditangga ke-11 selepas menumpaskan Trinidad dan Tobago, 6-4.
Kemenangan dalam aksi penentuan tempat ke-11 dan ke-12 itu sekali gus menyaksikan pasukan negara berjaya mengelak daripada menghuni tangga tercorot.
Pada aksi yang berlangsung di Zatika Sport Centre, hari ini, Trinidad dan Tobago beroleh gol pembukaan hasil jaringan padang Mickell Pierre pada minit ketujuh, sebelum Darren Cowie menambah gol kedua selang tiga minit kemudian.
Malaysia bangkit dengan meledakkan tiga gol, dua menerusi Muhammad Ashran Hamsani serta satu gol dijaringkan Abdul Khaliq Hamir pada suku kedua.
Trinidad dan Tobago kemudian melancarkan serangan untuk menghasilkan dua lagi gol menerusi jaringan padang Teague Marcano dan Jordan Vieira untuk kedudukan 4-3.
Namun, ia tidak bertahan lama apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mengikat 4-4.
Skuad negara berjaya memastikan perlawanan terakhir itu milik mereka apabila Abdul Khaliq dan Faridzul Afiq Mohd masing-masing menyumbang gol pada suku terakhir, sekali gus menutup kempen di kedudukan ke-11.