fb fb fb fb fb

Arif Aiman keempat terbaik dunia bagi statistik gelecekan

Data yang dikeluarkan platform statistik bola sepak Sofascore

KUALA LUMPUR, 3 Januari - Pemain sayap Harimau Malaya Arif Aiman Mohd Hanapi melakar sejarah membanggakan apabila menduduki ranking keempat dunia bagi statistik gelecekan dalam liga divisyen utama.

Data itu dikeluarkan platform statistik bola sepak Sofascore.

Lebih membanggakan, tonggak Johor Darul Ta’zim itu merupakan satu-satunya pemain Asia yang berada dalam senarai tersebut.

Menurut datan yang dikeluarkan, pemain berusia 23 tahun berkenaan melakukan 224 gelecekan berjaya daripada 35 perlawanan, mengatasi Jeremy Doku dari Manchester City yang mencatatkan 212 gelecekan berjaya selepas beraksi dalam 52 perlawanan.

Mengungguli kedudukan teratas ialah bintang Barcelona Lamine Yamal yang merekodkan 307 gelecekan berjaya daripada 61 perlawanan, diikuti pemain Brazil Guilherme Smith dengan 251 gelecekan dalam 25 penampilan.

Penyerang Honduras José Mario Pinto di tangga ketiga dengan 238 gelecekan berjaya daripada 53 perlawanan.

Arif Aiman kini menjalani tempoh rehat panjang selama tiga bulan selepas mengalami kecederaan hamstring yang memerlukannya menjalani pembedahan dijalankan doktor sukan terkenal Lasse Lempaine.- Bernama

JALALUDDIN BIN BAHARIN