KUALA LUMPUR, 25 Julai - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin Liga Wanita Nasional (LWN) bakal menjadi platform terbaik dalam mendapatkan pemain kebangsaan yang terbaik.
Keyakinan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.
Menurutnya, LWN memberi fokus dalam menonjolkan pemain-pemain untuk dinilai dan dipilih oleh jurulatih kebangsaan bagi mewakili negara.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob - Foto FAM
"Fokusnya adalah permainan selama enam bulan membabitkan 56 perlawanan. Ini penting kerana ia merupakan satu asas untuk mereka berlatih dengan jangka yang panjang.
"Kita percaya inilah platform untuk kita mendapatkan pemain kebangsaan yang baik. Daripada umur 15 tahun hinggalah mereka berumur lebih 30 tahun untuk mereka berlatih bagi jangka yang panjang dan kompetitif," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Liga LWN 2025 yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di sini pada Khamis.
LWN 2025 dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh - Foto FAM
Datuk Suraya juga berpendapat, LWN yang kini disertai lapan pasukan, agak sukar untuk ditambah jumlah pasukan buat masa ini, namun usaha ke arah itu nampak positif.
"Tetapi dengan LWN kita dapat tingkatkan pemain di Liga Puteri membabitkan pemain berusia 15 tahun ke bawah. Daripada 12 pasukan, kini sudah ada 22 pasukan.
"Ini bermaksud semua kelab, akademi dan juga persatuan bola sepak sedang merancang pembangunan pemain yang dimulakan dengan Liga Puteri yang bakal bermain di LWN pada masa akan datang," katanya.
Lapan pasukan berentap dalam LWN 2025 - Foto FAM
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan pendaftaran dua pemain import untuk setiap pasukan bertanding bagi LWN 2025 juga memberi nilai tambah kepada liga bola sepak wanita negara.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing pasukan tetapi juga membuka ruang untuk pemain tempatan belajar dan berkembang bersama pemain bertaraf antarabangsa.
“Ia turut mencerminkan kesungguhan kita untuk membawa bola sepak wanita ke tahap yang lebih profesional dan berdaya saing di peringkat serantau dan global," katanya.
LWN 2025 telah bermula pada 12 Julai lalu dengan perlawanan pembukaan antara Red Eagles SC berdepan juara LWN 2024, Kelana United FC dengan keputusan 1-1.