IPOH, 26 Julai - Pasukan Perak FA bersedia mempertimbangkan cadangan penggunaan padang Kompleks Bola Sepak Perak, di Chemor, Ipoh sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihak Amateur Football League (AFL) telah memberikan kelulusan bersyarat penggunaan venue tersebut.
Namun aksi pertama menentang UM-Damansara United pada 3 Ogos depan akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
"Jika tidak sebanyak 30 permainan, kami perlu pergi ke Manjung dan perlu menggunakan banyak perkhidmatan seperti bas dan penginapan.
"Jadi bagi mengurangkan tekanan kepada pemain, jawatankuasa dalam usaha mempertimbangkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan aksi persahabatan Perak FA menentang Melaka FC di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pihaknya masih dalam proses menilai pemain import yang akan memperkuat cabaran pasukan itu dalam saingan liga nanti.
Ketika ini, 24 pemain tempatan telah sah menandatangani kontrak bersama Perak FA termasuk beberapa bekas pemain Perak FC yang beraksi dalam saingan Liga Super musim lalu.