fb fb fb fb fb

Luis Enrique puas hati menang besar

PSG menang 4-0 ke atas Atletico Madrid - Foto AFP

CALIFORNIA, 15 Jun - Juara Liga Juara-Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG), memulakan kempen Piala Dunia Kelab mereka dengan langkah kanan apabila membelasah kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid, 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Rose Bowl, Pasadena, awal pagi tadi.

Kemenangan bergaya itu memperlihatkan prestasi mantap pasukan kendalian Luis Enrique walaupun ini merupakan perlawanan pertama mereka sejak meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara bulan lalu.

 

PSG melakar kemenangan pertamanya selepas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah - Foto AFP

PSG membuka tirai jaringan seawal minit ke-19 menerusi gol jarak jauh Fabian Ruiz dan menggandakan kelebihan mereka sebelum waktu rehat melalui serangan balas pantas yang disudahkan dengan rembatan Vitinha.

Bersambung babak kedua, Atletico Madrid hampir merapatkan jurang pada minit ke-57 menerusi jaringan Julian Alvarez, namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Koke telah mengasari Desire Doue sebelum jaringan dilakukan.

Pemain gantian, Senny Mayulu, memastikan kemenangan PSG apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87, sebelum Lee Kang-in menambah derita Atletico Madrid dengan gol keempat melalui sepakan penalti pada masa kecederaan.

 

Ketua Jurulatih PSG, Luis Enrique - Foto AFP

Sementara itu, Luis Enrique berpuas hati terhadap permainan yang dipamerkan anak buahnya dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia Kelab itu.

“Perasaan yang sangat positif. Kami baharu sahaja melalui tempoh rehat antarabangsa, dan kebanyakan pemain telah bersama skuad kebangsaan masing-masing.

"Apabila mereka kembali, selalunya ada sedikit keraguan sama ada mereka memerlukan masa untuk berada ke tahap prestasi asal, memandangkan perjalanan dan perlawanan yang mereka hadapi sangat intensif.

"Namun, berdasarkan empat sesi latihan yang kami jalankan sebelum perlawanan ini, saya yakin kami sudah bersedia. Pasukan ini mempunyai semangat untuk bersaing dan berlatih, dan itu adalah sesuatu yang sangat positif," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kemenangan bergaya ke atas Atletico Madrid ini mengukuhkan lagi status PSG sebagai antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia Kelab yang dianjurkan dengan format baharu membabitkan 32 pasukan.

 

Ketua Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone - Foto AFP

Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, pula mempertahankan keputusannya untuk menurunkan Antoine Griezmann sebagai kesebelasan utama berbanding Alexander Sorloth.

“Julian (Alvarez) bermain sebagai penyerang nombor sembilan. Griezmann pula bermain di sebelah kiri. Sejujurnya, saya tidak fikir komen anda itu bersifat membina langsung. Ia hanya mencari konfrontasi. Saya tidak peduli.

"Apabila Sorloth dimasukkan, beliau mempunyai peluang keemasan untuk menjadikan kedudukan 2-1 yang mungkin telah membuka peluang untuk kami kembali dalam perlawanan.

 

Kesebelasan utama Atletico Madrid ketika menentang PSG - Foto AFP

"Saya membuat keputusan bahawa untuk perlawanan ini, kami perlu bermain dengan Griezmann dan Julian. PSG adalah sebuah pasukan muda yang hebat. Luis (Enrique) menyedari mereka perlukan peningkatan di sebelah kiri, jadi mereka melabur 70 juta dan membeli Kvaratskhelia. Bila anda beli pemain seperti itu, anda perlu beri dia bermain.

"Mereka adalah pasukan yang sentiasa mampu menambah pemain berkualiti, dan hari ini mereka benar-benar berfungsi sebagai satu pasukan," katanya. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK