fb fb fb fb fb

16 pasukan sah sertai Liga A1 2025-2026

16 pasukan yang akan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro 2025-2026 - Foto FB AFL

KUALA LUMPUR, 16 Jun - Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan pada Liga A1 Semi Pro 2025-2026, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam saingan liga separuh profesional itu.

Pertambahan jumlah pasukan itu berlaku selepas Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan penyertaan empat pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC), FC Seoul Phoenix dan UM-Damansara United.

Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata KDA FC, GSA FC dan Seoul Phoenix sebelum ini diberikan kelulusan bersyarat dan perlu melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen mengikut tempoh yang diberikan.

 

Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi - Foto FB AFL

Beliau berkata AFL juga mengesahkan penyertaan UM-Damansara United yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu bersama Ipoh City FC.

“Setelah melalui proses semakan dokumen dan kriteria ditetapkan sama seperti pasukan-pasukan lain, penyertaan UM-Damansara United turut disahkan bagi melengkapkan jumlah 16 pasukan menyertai Liga A1 Semi Pro 2025-2026, berbanding hanya 15 pasukan pada tahun lepas.

“Bagi Ipoh City FC pula, pasukan berkenaan telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai saingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, AFL memaklumkan 12 pasukan berjaya mengesahkan penyertaan pada musim depan.

Pasukan berkenaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Sebagai rekod, Melaka FC dinobatkan selaku juara musim lepas manakala Imigresen FC di tempat kedua, sekali gus layak secara merit untuk beraksi di pentas Liga Super 2025-2026. - BERNAMA

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK