fb fb fb fb fb

Malayan Tigress kekal majoriti pemain hadapi Piala Asia Wanita

Skuad Malayan Tigress selamat kini di Dubai, UAE bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 - Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 16 Jun - Ketua Jurulatih kebangsaan Joel Cornelli mengekalkan lebih 90 peratus pemain sedia ada bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan, dari 29 Jun hingga 5 Julai ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Cornelli mengekalkan 21 daripada 23 pemain skuad Malayan Tigress yang menyertai kejohanan Tri Nations di Thimphu, Bhutan yang berakhir awal bulan ini.

Antara pemain yang dikekalkan pengendali dari Brazil itu ialah penyerang prolifik Intan Sarah Anisah Zulgafli, pemain pertahanan berpengalaman Steffi Sarge Kaur dan penjaga gol utama Nurul Azurin Mazlan.

 

Senarai akhir 23 pemain Malayan Tigress - FB FAM

“Pemain baharu yang terpilih adalah penjaga gol skuad Malayan Tigress Bawah 19 Tahun (B-19) Daliea Eliesa serta penyerang Henrietta Justine.

“Skuad bola sepak wanita kebangsaan akan terlebih dahulu mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu) pada 18 dan 22 Jun di Dubai, sebelum terbang ke Tajikistan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026,” menurut kenyataan itu.

Pada kempen pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2026, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H akan memulakan saingan menentang Palestin pada 29 Jun, diikuti Tajikistan (3 Julai) dan Korea Utara pada 5 Julai, dengan kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Central, Dushanbe.

Lapan juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama Australia, China, Korea Selatan dan Jepun di Australia pada Mac 2026.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia Wanita ialah pada 1995 iaitu ketika menjadi tuan rumah.

Pencapaian terbaik pasukan kebangsaan pada kejohanan empat tahun sekali itu ialah meraih tempat ketiga pada edisi 1983 di Thailand. - BERNAMA

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK