KUALA LUMPUR, 16 Jun - Selangor Red Giants (SRG.OG), tidak akan mengambil masa rehat yang panjang meskipun dinobatkan sebagai juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPLMY) musim ke-15 semalam.
Pengerusi Selangor Red Giants Esports, Simon Lim berkata, pasukan hanya akan berehat selama tujuh hari sebelum kembali menjalani sesi latihan intensif sebagai persediaan menghadapi kejohanan Mid Season Cup (MSC) yang akan berlangsung bulan depan sempena Piala Dunia Esports (EWC) 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
SRG.OG pada tahun lalu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengakhiri kemarau kejuaraan antarabangsa selama tujuh tahun bagi pasukan dari Malaysia dalam arena Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Kemenangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar serantau, malah menjadi simbol kebangkitan semula MLBB Malaysia di pentas global.

Sementara itu, Simon menyifatkan kejayaan yang diraih termasuk kejuaraan hatrik MPL Malaysia sebagai hasil pengorbanan besar daripada setiap pemain dan barisan kejurulatihan.
Sebagai rekod, SRG.OG merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang menjuarai MSC tahun lepas selepas menewaskan wakil Filipina, AP Bren Sport, dengan keputusan 4-2.
Dalam pada itu, satu lagi pasukan dari Malaysia, Homebois, turut menempah tempat ke kejohanan berprestij MSC 2025 selepas menamatkan saingan sebagai naib juara dalam MPL Malaysia musim ke-15.