fb fb fb fb fb

LTdL 2024: Tsen Ren Bao tekad cipta impak positif penampilan sulung

Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Tsen Ren Bao

LANGKAWI, 27 September - Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Tsen Ren Bao, tekad mencipta impak positif pada penampilan sulungnya di Le Tour De Langkawi 2024.

Pelumba berusia 21 tahun itu menyasarkan zon pendakian dengan memulakan saingan pada peringkat pertama mengelilingi Pulau Langkawi, Ahad ini.

"Saya punya kekuatan dekat bukit, jadi setiap hari saya akan fokus satu peringkat, terutama peringkat ketiga yang menuju ke Cameron.

"Esok, kalau peringkat pertama, fokus kat peringkat tu dan pastikan selamat sampai ke garisan penamat. Tidak perlu terlalu beria sangat apabila berada di depan," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Ren Bao turut berazam berada dalam kelompok 20 pelumba terbaik keseluruhan serta tiga teratas bagi kategori pelumba terbaik Asia di LTdL.

Pelumba kelahiran Kuala Lumpur ini pernah menyinar ketika saingan Jelajah Banyuwangi 2024 di Indonesia pada Julai lalu dengan meraih tempat ke-11 bagi kategori pelumba terbaik keseluruhan dan kedudukan ke-17 dalam perebutan gelaran Raja Bukit.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Malaysia, Mohd Yusof Nasir, yakin bahawa Ren Bao mampu menyerlah pada saingan edisi ke-28 kali ini.

"Saya rasa Ren Bao boleh lakukan sesuatu di laluan Cameron Highlands. Kalau ada yang tahu, dia memang seorang pendaki yang bagus.

"Namun, kita perlu ingat ini adalah penampilan pertamanya di LTdL. Saya pun tak mahu letak harapan terlalu tinggi, tapi saya yakin dia mampu lakukan yang terbaik," katanya.

Pasukan kebangsaan kali ini dibarisi ramai muka baharu, antaranya kapten pasukan, Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas, Muhammad Afiq Huznie Othman, dan Muhsin Al Redha Misbah.

Pelumba terbaik Malaysia pada edisi lalu, Muhammad Nur Aiman Rosli, kini tidak lagi bersama pasukan kebangsaan kerana membawa cabaran Terengganu Cycling Team (TSG) pada musim ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN