LANGKAWI, 27 September- Bersempena dengan perlumbaan peringkat pertama edisi ke-28 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan membuka tirainya pada Ahad, beberapa jalan raya di sekitar pulau ini akan ditutup bermula jam 3 petang ini hingga 2 petang Ahad.
Penutupan dan lencongan secara berperingkat itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan di lokasi permulaan Pekan Kuah untuk memastikan kelancaran perlumbaan berprestij itu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari dalam satu kenyataan berkata laluan yang ditutup mulai jam 3 petang ini membabitkan Jalan Padang Matsirat dari lampu isyarat Pokok Asam hingga Lampu Isyarat Dundung.
Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dari lampu isyarat Sungai Menghulu, Jalan Padang Gaong, Lebuhraya Langkawi, Jalan Ayer Hangat, Pekan Kuah/Jeti Kuah.
Penutupan dan lencongan secara berperingkat membabitkan beberapa jalan turut dilakukan bermula 7.30 pagi hingga 11.30 pagi esok bersempena acara 'Domestique Ride'.
Antara jalan yang ditutup adalah Jalan Padang Matsirat, Lencongan Putra 1, Penarak, Ayer Hangat, Pantai Kok, Kuala Teriang, Nyiur Chabang dan Ulu Melaka.
Turut ditutup Jalan Makam Mahsuri, Mata Air, Padang Matsirat, Lapangan Terbang, Kuala Muda, Teluk Baru, Temonyong, Bukit Malut dan Padang Matsirat.