fb fb fb fb fb

LTdL 2022 tamat, kekal sebagai status 'pro-series' untuk edisi akan datang

LANGKAWI, 18 Oktober- Perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 melabuhkan tirainya hari ini.

Perlumbaan peringkat terakhir hari ini menyaksikan Alex Molenaar daripada pasukan Burgos BH muncul pemenang dengan catatan masa 2:25:37 saat.

Tempat kedua menjadi milik Jason Osborne daripada pasukan Alpecine- Deceuninck manakala pelumba UAE Emirates, Juan Sebastian Molano ketiga.

Molenaar dan Osbourne berjaya menjarakkan diri dengan peloton di belakang sejak pertengahan perlumbaan.

Kayuhan konsisten Molenaar membolehkan dia memenangi perlumbaan pertamanya dalam edisi kali ini.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak mengubah kedudukan jersi-jersi utama.

Secara keseluruhannya, Ivan Ramiro Sosa Cuervo daripada pasukan Movistar berjaya menamatkan edisi ke-26 selaku Pelumba Terbaik Keseluruhan iaitu Jersi Kuning dengan masa keseluruhan 25:54 minit.

Sementara itu, bagi Jersi Hijau yang membawa gelaran Raja Pecut pula kekal milik Erlend Blikra dari Uno-X Pro Ccyling Team.

Bagi Jersi Merah, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff,25, membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri sekali gus berjaya mengekalkan gelaran Raja Bukit yang diperoleh pada edisi 2020.

Jersi Putih disandang rakan sepasukan TSG, Jambaljamts Sainbayar yang cemerlang menamatkan saingan selaku Pelumba Terbaik Asia.

Bagi kategori pasukan, TSG memenangi Pasukan Terbaik Asia manakala Movistar Team mengungguli kategori Pasukan Terbaik keseluruhan.

Edisi LTdL ke-26 kali ini menawarkan jumlah jarak keseluruhan lebih 1,000km kepada pelumba.

Perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk edisi akan datang kekal dengan status 'pro-series' bermula tahun 2023 sehingga 2025.


(Edisi LTdL ke-26 kali ini menawarkan jumlah jarak keseluruhan lebih 1,000km kepada
pelumba bermula di Kuala Pilah dan tamat di Langkawi)

Media Baharu