fb fb fb fb fb

LTdL 2022: Peringkat ketiga bermula dari Putrajaya ke Genting Highlands

PUTRAJAYA, 13 Oktober- Peringkat ketiga kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula melibatkan laluan sejauh 124.2 kilometer dari Putrajaya menuju Genting Highlands.

Terdapat tiga zon pecutan dan empat zon pendakian sepanjang laluan tersebut.

Peringkat ketiga ini menjadi lubuk mata terutama bagi pelumba yang mengejar gelaran Raja Bukit kerana menawarkan zon pendakian kategori 'hors'.

Selain itu, laluan berkenaan juga menawarkan dua zon pendakian kategori 2.

Pelumba Costa Rica, Kevin Rivera menjadi pelumba terakhir memenangi peringkat ini pada 2020.

(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyempurnakan majlis
pelepasan pelumba LTdL 2022 peringkat ketiga di Putrajaya)

Pelumba terlebih dahulu akan melalui zon pecutan di km32.6 di Semenyih, sebelum menempuh dua zon pendakian awal iaitu di Tekali dan 'look out point' yang berketinggian 327 meter dan 237 meter.

Dua lagi zon pecutan menanti pelumba selepas itu iaitu di km75.3 di Ampang Jaya dan km86.6 di Taman Melati.

Tumpuan utama ialah di dua zon pendakian terakhir yang nyata paling sukar dan mencabar mental serta fizikal pelumba iaitu di Gohtong Jaya dengan ketinggian 976 meter sebelum mendaki Genting Highlands setinggi 1,640 meter.

Peringkat ini menjadi sasaran buat dua pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang menguasai dua kedudukan terbaik kategori Raja Bukit ketika ini, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dan Jambaljamts Sainbayar.

Kedua-dua pelumba ketika ini terikat 17 mata.

Media Baharu