DOHA, 24 Februari - Jurulatih Qatar, Marquez Lopez yang berjaya mengemudi negara itu menjulang Piala Asia 2023 baru-baru ini melanjutkan kontrak sehingga 2026.
Menerusi lanjutan kontrak berkenaan, Lopez diberi kuasa sepenuhnya dalam mengemudi pasukan tersebut.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan bola sepak Qatar.
Lopez yang berasal dari Sepanyol menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan Qatar dipinjamkan daripada Kelab Liga Bintang Qatar, Al-Wakrah susulan pemergian mengejut pengendali sebelum itu, Carlos Queiroz.
Pelantikan tersebut memberi impak terhadap Qatar apabila tuan rumah Piala Asia 2023 itu berjaya merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut apabila menewaskan Jordan 3-1 pada perlawanan akhir.
"Pihak Persatuan melahirkan penghargaan kepada Kelab Al-Wakhrah atas kerjasama dan sumbangan kelab yang sanggup meminjamkan Lopez sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan", kata persatuan berkenaan dalam satu kenyataan.
Tugasan pertama Lopez selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua jurulatih Qatar adalah berdepan Kuwait pada 21 Mac depan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.
Qatar tidak pernah melayakkan diri melalui pusingan kelayakan dan membuat penampilan kali pertama selaku tuan rumah pada Piala Dunia 2022.
Juara Asia itu kini menduduki tangga teratas kumpulan yang turut menampilkan India dan Afghanistan. Qatar kini mengutip enam mata selepas dua perlawanan.
Juara dan naib juara kumpulan bakal ke pusingan seterusnya.-REUTERS