fb fb fb fb fb

Liverpool tumpaskan Everton 2-0; Salah lihat kebangkitan semula skuad Reds

(FOTO AFP)

LIVERPOOL, 14 Februari - Kemenangan 2-0 Liverpool mengatasi Everton dalam pertembungan tetangga Merseyside pada awal pagi Selasa (14 Feb) menunjukkan kebangkitan semula skuad Reds, kata Mohamed Salah.

Salah menjaringkan gol pertama dalam Liga Perdana England (EPL) sejak Krismas ketika skuad kendalian Jurgen Klopp menamatkan empat perlawanan tanpa kemenangan.

Cody Gakpo kemudiannya menjaringkan gol pertamanya buat kelab pada babak kedua.

Malam yang positif buat Liverpool dilengkapkan dengan kembalinya Diogo Jota dan Roberto Firmino daripada kecederaan manakala Virgil van Dijk berada di bangku simpanan enam minggu selepas diketepikan.

"Ia kemenangan besar buat kami," kata Salah.

"Kami mempunyai satu minggu yang sempurna untuk berlatih dan pemain teruja serta tidak sabar untuk mengubah nasib. Saya harap ia adalah satu permulaan."

(FOTO AFP)

Liverpool masih ketinggalan sembilan mata daripada empat kedudukan teratas di kedudukan kesembilan.

Namun jurang dengan pasukan keempat, Newcastle, boleh dikurangkan kepada enam mata apabila mereka ke St. James' Park hujung minggu depan.

Pertembungan itu hadir hanya beberapa hari sebelum kunjungan Real Madrid ke Anfield dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara dan Klopp berharap beliau akhirnya menemui penyelesaian terhadap sebahagian masalah skuadnya untuk sekali lagi berdepan aksi di Eropah.

"Malam ini kami ada di sana dan ia adalah petanda buat kami apa yang perlu dilakukan," kata Klopp.

"Persembahan untuk keseluruhan 96 minit adalah yang terbaik ketika ini." - AFP

Media Baharu