fb fb fb fb fb

Liga Malaysia 2023: Aksi di tempat lawan bakal ditayang di skrin besar

(Fahmi pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran RTM
sebagai rakan penyiar Liga Malaysia 2023/BERNAMA)

 KUALA LUMPUR, 14 Februari- Aksi bola sepak Liga Malaysia bagi musim 2023 melibatkan perlawanan di tempat lawan bakal disiarkan secara langsung menerusi skrin besar.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Jelas beliau, perbincangan awal antara kementeriannya dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dilakukan.

Langkah itu katanya bagi memberi ruang kepada peminat pasukan bola sepak tanah air menyaksikan perlawanan secara langsung, biarpun tidak dapat hadir secara fizikal ke stadium pihak lawan.

"Kita harap ada sedikit kerjasama dengan KBS untuk membuat siaran secara skrin besar di beberapa tempat strategik melibatkan perlawanan tertentu.

"Saya bersama menteri KBS dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia telah membuat pertemuan awal dan kita akan telusuri perkara itu supaya dapat diumumkan kelak mengenai jadual tayangan siaran skrin besar itu," kata Fahmi kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran RTM sebagai rakan penyiar Liga Malaysia 2023 di Angkasapuri.

Dalam pada itu, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan turut menyambut baik usaha tersebut.

"Langkah yang baik buat untuk memberi ruang dan peluang buat penonton beramai-ramai seperti dalam stadium juga tetapi menonton skrin yang besar dan menyokong pasukan mereka bermain," kata Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.

(Fahmi berucap pada Majlis Pelancaran RTM sebagai rakan penyiar Liga Malaysia 2023/BERNAMA)

 

Media Baharu