KUALA NERUS, 31 Januari - Lingai Challenge Jamboree 2023 yang membuka kalendar penganjuran perlumbaan berbasikal lasak(MTB) di Terengganu pada tahun ini mencipta penanda aras tersendiri setelah berjaya menarik penyertaan terbesar seramai 1,350 pelumba dari seluruh negara termasuk penyertaan dari negara Thailand dan Singapura.
Menambah prestij perlumbaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu (PLBT) turut berjaya menghimpunkan beberapa pelumba-pelumba kebangsaan dan profesional yang kini dalam persediaan ke beberapa pentas temasya sukan antarabangsa sepanjang tahun ini.
(Pegawai daerah Kuala Nerus Ahmad Azizi Zulkifli)
"Hari ini menunjukkan satu penanda aras yang baik lah bagi kejohanan Lingai Challenge Jamboree ini dan insyAllah sekiranya sambutan seperti ini dapat kita kekalkan tidak mustahil untuk kita anjurkan pada edisi akan datang," kata Pegawai daerah Kuala Nerus Ahmad Azizi Zulkifli.
Perlumbaan lasak dalam cuaca hujan lebat yang mempertaruhkan kayuhan sejauh 34.5 KM meredah kawasan berbukit beraltitud tinggi melibatkan 11 kategori dipertandingkan termasuk kategori E-Bike bagi jentera basikal MTB elektronik berkuasa bateri yang pertama kali diperkenalkan.
Pemenang pingat emas di pentas sukan SEA Hanoi 2022 iaitu pelumba Zulfikri Zulkifli yang mewakili pasukan Helaz Cycling Team menepati ramalan untuk merangkul juara bagi acara tumpuan iaitu kategori Lelaki Terbuka dengan catatan masa 1 jam 55 minit 36 saat untuk menafikan pelumba Abdul Halim Hasan di tempat kedua dari pasukan MIFH Cycling Group dengan catatan 1 jam 58 minit 51.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh bekas pelumba negara Mohammad Saufi Mat Senan yang mewakili pasukan Crew Nejar dengan catatan masa 2 jam 9 minit 15 saat.
"Lebih bersemangat saya untuk naik dan...tapi saya tidak boleh lalai juga.. sebab lawan-lawan saya pun bukan dalam Malaysia..luar Malaysia juga," kata Juara lelaki terbuka, Zulfikri Zulkifli.
Bagi kategori Wanita Terbuka, dengan catatan masa 2 jam 55 minit 23 saat bagi tempat pertama dirangkul oleh pelumba bekas juara kebangsaan Mustika Ayuni Mustofa, menafikan pelumba Nurul Nadia di tempat kedua dengan catatan masa 3 jam 8 minit 42 saat.
Manakala pelumba Nur Shamimie Suzana yang juga bekas juara kebangsaan berada di tempat ketiga dengan catatan masa 3 jam 12 minit 53 saat.
Pada penganjuran perlumbaan basikal lasak ini juga turut mendapat sokongan moral dengan kehadiran bekas jurulatih MTB negara yang telah membantu pelumba-pelumba tempatan untuk merangkul pingat emas pertama dalam sejarah penganjuran sukan SEA di Hanoi pada tahun lalu.
"Untuk kemajuan sukan dan pelumba-pelumba itu..kalau tiada sokongan ini maknanya pelumba kita tidak akan ke mana dan hanya berada di takuk yang lama sahaja," kata Ketua Jurulatih MTB Sukan SEA Hanoi, Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti.