fb fb fb fb fb

Lima pemain tumpuan di Piala Dunia Wanita FIFA

(FOTO HIASAN)

SYDNEY, 17 Julai- Aksi Piala Dunia Wanita FIFA akan membuka tirainya beberapa hari lagi dengan penganjurannya membabitkan dua negara iaitu Australia dan New Zealand.

Ia akan menjadi edisi pertama yang mempunyai lebih daripada satu negara tuan rumah, dan juga Piala Dunia pertama yang melibatkan beberapa konfederasi, kerana Australia berada dalam Konfederasi Asia, manakala New Zealand berada dalam Konfederasi Oceania.

Di samping itu, kejohanan ini akan menjadi yang pertama menampilkan format diperluaskan 32 pasukan daripada 24 pasukan sebelumnya, menggunakan format yang sama digunakan untuk Piala Dunia lelaki dari 1998 hingga 2022.

Perlawanan pembukaan akan menyaksikan pertemuan antara New Zealand dan Norway di Eden Park, Auckland, pada 20 Julai 2023 sementara perlawanan akhir akan berlangsung pada 20 Ogos 2023 di Stadium Olimpik Sydney di Australia.

Amerika Syarikat merupakan juara bertahan, menyimpan misi untuk melakar hatrik setelah memenangi dua edisi sebelum ini iaitu pada 2015 dan 2019. Skuad negara Uncle Sam itu turut direkodkan sebagai pasukan paling berjaya dengan empat kejuaraan.

Berikut lima pemain tumpuan pada aksi Piala Dunia Wanita FIFA 2023.


(Pemain Sepanyol, Alexia Putellas)

- Alexia Putellas (Sepanyol) -

Pemain tengah berusia 29 tahun itu dianggap ramai sebagai pemain bola sepak wanita terbaik di dunia.

Pemenang Ballon d'Or Wanita dua kali itu, pada Februari mengekalkan mahkotanya sebagai Pemain Wanita Terbaik FIFA untuk 2022, walaupun terlepas separuh kedua tahun ini kerana kecederaan lutut yang serius.

Bintang Barcelona itu adalah pemain wanita pertama yang mencapai 100 caps untuk Sepanyol.

Putellas adalah antara pemain Sepanyol yang menuntut perubahan dalam pasukan kebangsaan, tetapi tidak menyertai 15 pemain yang enggan dipanggil tahun lalu, di tengah-tengah krisis perbezaan pendapat dengan jurulatih Jorge Vilda dan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol.


(Pemain Australia, Sam Kerr)

- Sam Kerr (Australia) -

Kapten Australia berusia 29 tahun itu membuat penampilan sulung antarabangsanya pada usia 15 tahun dan telah bermain lebih 120 kali untuk negaranya, dengan purata gol dalam setiap perlawanan. Dia menjaringkan lima gol pada Piala Dunia 2019.

Prestasinya di kelab Chelsea turut sama cemerlang apabila menjaringkan 29 gol dalam 38 penampilan musim ini.

Kerr adalah nama besar di Australia sehingga dia terpilih menjadi pembawa bendera Australia pada majkis pertabalan Raja Charles.


(Pemain Amerika Syarikat, Megan Rapinoe)

- Megan Rapinoe (Amerika Syarikat) -

Bermain di posisi penyerang, Rapinoe telah bermain sebanyak 199 kali untuk Amerika Syarikat, menjaringkan 63 gol dan membuat 73 umpanan.

Bermain dengan kelab OL Reign, Rapinoe telah membantu skuad The Stars and Stripes menjulang trofi Piala Dunia sebanyak dua kali.

Dia bersedia untuk bersara pada penghujung musim ini setelah mencecah usia 38 tahun tetapi dia kekal sebagai wajah bola sepak wanita di Amerika Syarikat.


(Pemain England, Keira Walsh)

- Keira Walsh (England) -

Harapan England untuk memenangi Piala Dunia buat kali pertama terjejas dengan kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan, meletakkan lebih banyak tanggungjawab kepada pemain tengah, Walsh.

Barcelona mengambilnya dari Manchester City dengan bayaran 400,000 pound (AS$508,000) pada September lalu, satu rekod dunia untuk pemain bola sepak wanita.

Dengan kecekapan hantaran, membaca permainan lawan dan keupayaan mendominasi bola, Walsh memainkan peranan penting dalam skuad England pimpinan Sarina Wiegman memenangi Euro di laman sendiri pada 2022.

Dia dinamakan pemain terbaik perlawanan apabila England menewaskan Jerman 2-1 dalam perlawanan akhir di Wembley dalam masa tambahan.


(Pemain Norway, Ada Hegerberg)

- Ada Hegerberg (Norway) -

Hegerberg muncul sebagai pemenang pertama Ballon d'Or Wanita, pada 2018, dan merupakan penyerang prolifik bersama pasukan terkemuka Perancis, Lyon.

Kerjayanya bersama skuad kebangsaan sebenarnya telah berhenti pada 2017, gara-gara kebimbangan mengenai ketidaksamaan layanan yang diberikan kepada pasukan lelaki dan wanita oleh persekutuan Norway namun pemain berusia 28 tahun itu membuat pusingan-U tahun lepas dan kembali bersama The Grasshoppers.

Penyerang berusia 28 tahun itu turut bergelut dengan siri kecederaan tetapi apabila berada atas padang, dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia, dan purata lebih daripada satu gol perlawanan untuk kelabnya.

Hegerberg juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa dalam Liga Juara-Juara Wanita UEFA dengan 59 gol. -AFP

Media Baharu