(Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli)
KANGAR, 17 Julai- Kerajaan negeri menyerahkan insentif kemenangan sukan kepada 13 orang atlet negeri itu atas kejayaan cemerlang memperoleh pingat pada temasya Sukan SEA dan PARA ASEAN Kemboja 2023.
Insentif berjumlah RM18,625 diberikan kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memaklumkan, secara keseluruhan atlet negeri memenangi dua pingat emas dan 12 pingat gangsa pada temasya Sukan SEA Ke-32 di Kemboja, Mei lalu serta tiga pingat Perak pada sukan PARA ASEAN.
Insentif bertujuan memberi motivasi kepada atlet untuk terus mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat lebih tinggi.
Antara penerima ialah Muhammad Shafiq Zuber bagi sukan taekwondo dan Mughni Mohamad Kamal bagi acara hoki berpasukan yang menyumbang pingat emas untuk kontinjen negara.
"Bakat mereka ini akan lebih terserlah dan insya-Allah dapat banyak pingat lagi selepas ini dan akan memberi dorongan kepada bakat-bakat baharu untuk mengikuti jejak mereka mengharumkan negeri Perlis dan negara kita Malaysia...insya-Allah," kata Mohd Shukri.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kepada Atlet Sukan SEA dan PARA ASEAN Kemboja 2023, di sini.
(Insentif berjumlah RM18,625 diberikan kepada pemenang pingat emas, perak dan
gangsa yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa)