ISKANDAR PUTERI, 25 Februari-Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, selepas menundukkan Perak FC, 2-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Isnin.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio mengumpul 58 mata selepas mengharungi 20 perlawanan biarpun masih berbaki empat perlawanan lagi.
JDT bagaimanapun terpaksa berhempas pulas pada babak pertama, sebelum Jese Rodriguez mencetak gol hasil lorongan Arif Aiman Hanapi, minit ke-45.
Bersambung babak kedua, JDT menggandakan asakan dan berhasil menambah gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Jorge Obregon, minit ke-64.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata pasukannya sentiasa meletakkan fokus seratus peratus untuk mencapai kemenangan pada setiap pertandingan yang disertai.
"Kejohanan ini penting untuk kelab. Kita akan berikan fokus sepenuhnya, baik diperingkat tempatan mahupun antarabangsa.
"Setiap perlawanan adalah diibaratkan seperti perlawanan akhir. Perlawanan seterusnya dalam Liga Super, kita perlu menang dan berikan 100 peratus", katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, berpuas hati dengan corak pertahanan ampuh dipamerkan anak buahnya, sekali gus berjaya menyekat banyak serangan berbahaya tuan rumah.
"Dua perlawanan di tempat sendiri kita perku menang untuk berada di kedudukan pertengahan liga.
"Tiada siapa menyangka Perak akan sampai ke tahap ini. Para pemain menunjukkan semangat bagi memadam defisit memandangkan JDT belum pernah tewas di SSI", jelasnya.
Perak FC kini berada di tangga keenam liga dengan 23 mata dan mempunyai baki empat perlawanan.