MANCHESTER, 25 Februari-Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dijangka melakukan pelan penstrukturan semula untuk kembali mencatatkan keuntungan selepas lima tahun mengalami kerugian.
Menurut kenyataan kelab berkenaan penstrukturan tersebut melibatkan pembuangan sekitar 150 hingga 200 pekerja.
Pelan berkenaan merupakan tambahan kepada 250 pekerja yang telah dibuang pada tahun lalu.
Pada bulan September, juara liga 20 kali itu melaporkan kerugian bagi tahun kelima berturut-turut selepas gagal layak ke pertandingan Liga Juara Eropah yang sangat menguntungkan.
"Kami telah mengalami kerugian selama lima tahun berturut-turut. Ini tidak boleh berterusan," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada, dalam satu kenyataan.
Pelan penstrukturan semula itu termasuk menamatkan pemberian makan tengah hari percuma kepada kakitangan di kantin Old Trafford bagi menjimatkan lebih daripada 1 juta paun (£1.26 juta) setahun, menurut sumber yang rapat dengan kelab itu.
Sebahagian kakitangan akan berpindah dari Old Trafford ke kemudahan latihan baharu di Carrington berhampiran Manchester, dan semua kepimpinan kelab akan berpangkalan di Manchester, tambah sumber itu.
Bonus eksekutif akan dibayar pada kadar yang lebih rendah tahun ini sebelum beralih kepada skim yang lebih kukuh berdasarkan prestasi bola sepak dan kewangan kelab, kata sumber tersebut.
Sumbangan amal kelab akan lebih tertumpu kepada Manchester United Foundation dan Manchester United Disabled Supporters' Association, dengan perbincangan sedang berlangsung mengenai tahap sumbangan kepada MUF. Kelab itu juga akan menghentikan sumbangan kepada badan amal lain, menurut sumber berkenaan.
Yayasan tersebut, yang menyediakan program pendidikan dan khidmat masyarakat untuk golongan muda, berjaya mengumpul £608,000 daripada pemegang tiket musim dan derma dalam talian pada musim 2023/24, menurut laman web rasminya.
"Dengan berakhirnya proses ini, kami akan mempunyai kelab bola sepak yang lebih stabil dan mampan dari segi kewangan," kata Berrada.
Manchester United menamatkan musim lalu di tempat kelapan dalam liga. Ketika ini, pasukan itu berada di tangga ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris.
Minggu lalu, Manchester United mengakui berdepan cabaran selepas melaporkan kerugian bersih yang diselaraskan sebanyak £6.2 juta (AS$7.83 juta) pada suku kedua.
Saham kelab itu, yang telah mengalami kejatuhan sekitar 16% tahun ini, meningkat sebanyak 0.5% pada hari Isnin.
Pembelian saham bernilai AS$1.25 bilion oleh Ratcliffe setahun lalu pada awalnya disambut dengan penuh keterujaan oleh para peminat, tetapi semangat itu semakin pudar sepanjang 12 bulan terakhir akibat prestasi buruk pasukan itu.-REUTERS.