PETALING JAYA, 13 Ogos- Selangor bangkit daripada kekecewaan tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu dengan menewaskan kelab Brunei, DPMM FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Turun buat kali pertama di laman sendiri musim ini, Gergasi Merah tidak menunggu lama apabila Kevin Deeromram meledak gol pembukaan seawal minit kelima.
Pemain import Thailand itu terus mencuri tumpuan dengan gol kedua pada minit ke-36 hasil hantaran lintang Quentin Cheng.
Quentin sekali lagi menjadi pengumpan tepat, kali ini untuk tandukan Chrigor Flores Moraes pada minit ke-67 yang mengesahkan kemenangan mutlak Selangor.
Tiga mata pertama musim ini menjadi tonik buat skuad kendalian Katsuhito Kinoshita sebelum menentang Malaysian University dalam pusingan 16 terbaik Piala FA, Sabtu ini.
DPMM pula kekal dengan satu mata dan akan berdepan Kuching City dalam aksi Piala FA di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, juga Sabtu ini.