ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos- Perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Negeri Sembilan FC menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi memukau di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Perlawanan penuh debaran itu menyaksikan jaringan demi jaringan antara kedua-dua pasukan, sebelum skuad Harimau Selatan mengesahkan kemenangan, 5-3 mengatasi NSFC.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah apabila Joseph Esso membuka tirai jaringan pada minit ke-8, sebelum Jovan Motika menambah derita dengan gol kedua, empat minit kemudian.
JDT bangkit merapatkan jurang pada minit ke-38, melalui tandukan kemas Jon Irazabal, sebelum gol penyamaan hadir tiga minit berselang, disumbangkan Joao Figueiredo.
Babak kedua menyaksikan Jon Irazabal sekali lagi meledak pada minit ke-57, disusuli jaringan Ariff Aiman Hanapi seminit kemudian.
Kelebihan selesa itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Jovan Motika turut mencatat gol keduanya buat Negeri Sembilan FC, minit ke-60.
Berson Da Silva kemudiannya memastikan JDT terus menjarakkan kedudukan melalui gol akrobatik pada minit tambahan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Xisco Muñoz berpuas hati dengan semangat juang ditampilkan anak buahnya, biarpun aksi sengit itu menguji ketahanan fizikal dan mental pasukan.
"Saya seorang yang positif dan akan cuba memahami situasi ini bersama pasukan.
"Memang terdapat beberapa kesilapan, namun kita perlu belajar dan memperbaikinya. Aspek pertahanan dan serangan perlu diperkukuhkan untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Ketua Jurulatih NSFC, Mohd Nidzam Jamil pula menuntut skuad Si Rusa mengekalkan keberanian memburu jaringan, khasnya ketika menentang pasukan lebih besar.
"Saya harap tindakan berani pemain tidak terhenti dalam saingan ini sahaja, sebaliknya, perlu diteruskan dalam setiap perlawanan termasuk percubaan menjaringkan gol.
"Walaupun bukan mudah tetapi perlu lihat dari sudut positif dan tidak boleh pandang remeh ketika bermain di peringkat elit seperti ini.
"Namun, saya gembira kerana kita dapat belajar banyak perkara pada malam ini," katanya.