fb fb fb fb fb

Jota kongsi detik bermakna menerusi jaringan terakhir sebelum meninggal dunia

Penyokong Liverpool melihat mural peringatan Diogo Jota berhampiran Stadium Anfield/ Foto REUTERS

LONDON, 12 Ogos - Penyerang Liverpool, Diogo Jota, sempat berkongsi detik bermakna di sebalik jaringan terakhirnya untuk kelab itu dalam satu wawancara, sebelum beliau maut dalam kemalangan jalan raya di utara Sepanyol pada 3 Julai lalu.

Jota, 28, dan adiknya, Andre Silva, terbunuh selepas kenderaan Lamborghini yang dinaiki terbabas ketika dalam perjalanan kembali ke England bagi memulakan latihan pramusim, selepas membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Gol terakhir Jota hadir pada April lalu, apabila beliau menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan derbi Merseyside menentang Everton di Anfield, jaringan yang disifatkannya sebagai momen membanggakan dalam kariernya.

"Ia musim yang sukar buat saya, tetapi saya sentiasa berjuang dan dapat membantu pasukan pada hari itu. Detik seperti itu adalah sebab mengapa saya bermain bola sepak," katanya dalam dokumentari “Champions 24-25: The Inside Story”.

Sepanjang lima musim bersama Liverpool sejak 2020, Jota memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga.

Bagi menghormati sumbangannya, Liverpool telah menamatkan penggunaan jersi nombor 20 miliknya, selain merancang membina arca peringatan di luar Stadium Anfield.

Sebuah mural Jota juga sudah menghiasi bangunan berhampiran stadium berkenaan. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN