fb fb fb fb fb

Liga Super: Selangor pesta gol, Perak terus kempunan

(FOTO RTM)

KOTA BHARU, 8 Jun-Selangor FC kembali meraih tiga mata selepas berpesta gol membenam Kelantan United FC (KUFC) 7-1 malam tadi.

Selepas tewas mengejut kepada PDRM FC pada Sabtu lepas, skuad Gergasi Merah enggan lagi keputusan memalukan itu berulang.

Beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Bharu,Skuad kendalian Tan Cheng Hoe membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Enam minit kemudian, penyerang import, Ayron del Valle menggandakan jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Belum pun sempat tuan rumah kembali mengatur taktikal, Faisal Abd Halim menambah kelebihan Selangor pada minit ke-29 untuk kedudukan 3-0.

Sebelum rehat, Ayron meledak gol kedua peribadinya untuk menutup babak pertama dengan kedudukan selesa 4-0.

Selangor terus menambah derita Kelantan United menerusi pemain import Yohandry Orozco pada minit ke-51, sebelum Ayron melengkapkan hatrik dengan satu lagi rembatan pada minit ke-80.

Gol sagu hati KUFC pula dijaringkan Devid Silva menerusi penalti pada minit ke-78.

Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) menewaskan Perak FC 3-0 pada aksi ‘Derbi Utara’ di Stadium Darul Aman.

Skuad Kenari terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Amirbek Juraboev pada minit ke-25.

Pemain import dari Tajikistan itu kemudian melebarkan jurang menerusi tandukan daripada hantaran lintang kapten pasukan, Lee Tuck pada minit ke-53.

Penyerang import dari Brazil, William Lira Sousa kemudian melengkapkan kemenangan selesa Kedah menerusi tandukan pada minit ke-66.

Kedah kini mengutip 28 mata untuk naik ke tangga ketiga liga manakala Perak pula kekal di kedudukan ke-11 dengan sembilan mata.


(Pemain Kedah meraikan gol pembukaan perlawanan/FOTO RTM)

Media Baharu