BUENOS AIRES, 10 November — Stadium ikonik La Bombonera bergema dengan sorakan dan nyanyian semangat apabila Boca Juniors menewaskan musuh tradisi mereka, River Plate, 2-0 dalam pertembungan penuh emosi Superclasico Argentina pada Ahad.
Ribuan penyokong membanjiri kawasan sekitar stadium, mengibarkan jersi, menyalakan suar dan menyanyikan lagu-lagu kebanggaan kelab masing-masing.
Warna biru dan emas Boca mendominasi suasana, manakala merah dan putih River turut menceriakan pemandangan klasik bola sepak Argentina itu.
Boca Juniors memastikan kemenangan menerusi jaringan Exequiel Zeballos dan Miguel Merentiel, sekaligus menempah tempat ke Copa Libertadores 2026.
Seorang penyokong Boca menggambarkan perlawanan ini sebagai sesuatu yang istimewa.
“Superclasico ini...seperti hari lahir anda. Ia satu cabaran, satu perjuangan penuh jiwa, di padang, di bangku simpanan, malah dari rumah. Boca adalah kehidupan,” katanya penuh emosi.
Kemenangan itu juga disifatkan sebagai hasil perubahan sikap pemain selepas beberapa aksi hambar sebelum ini.
“Pemain-pemain mengubah mentaliti mereka. Kami bermain buruk sebelum ini, tapi mereka sedar, di Boca, kemenangan adalah kewajipan. Boca adalah segalanya,” kata seorang lagi peminat setia kelab itu.
River Plate pula terus bergelut dalam pertembungan klasik itu apabila gagal menyaingi penguasaan dan semangat luar biasa skuad kendalian Hugo Ibarra. -VIORY