(Selangor FC menjinakkan Negeri Sembilan FC 4-0, malam tadi/ FB Selangor FC)
KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Selangor FC mengukuhkan cengkaman dalam perebutan slot Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan dengan melebarkan jurang mata di tempat kedua, selepas menjinakkan Negeri Sembilan FC 4-0, malam tadi.
Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, The Red Giants mendominasi separuh masa pertama dan mendahului jaringan menerusi pemain import, Richmond Boakye pada minit ke-27.
Di babak kedua, pasukan pelawat menjaringkan tiga lagi gol, dicetak Ayron Del Valle pada minit ke-59, Yohandry Orozco minit ke-75 sebelum Harith Haiqal melengkapkan kemenangan minit ke-83.
Skuad Jang terus berputih mata tanpa sebarang jaringan.
Selangor kini mengumpul 46 mata, enam mata mendahului KDA FC di tempat ketiga yang kurang dua perlawanan.
Sementara itu, Terengganu FC berpesta gol apabila membelasah Kelantan FC 8-0 pada satu lagi pertembungan Liga Super yang tertangguh selama 90 minit susulan padang ditakungi air akibat hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
(FOTO FB Terengganu FC)
Situasi itu tidak menjejaskan skuad Penyu bimbingan Tomislav Steinbruckner yang beraksi cemerlang dengan mencetak empat gol pada separuh masa pertama.
Gol dicetak Ivan Mamut, Nurillo Tukhtasiniov, Nik Sharif Haseefy dan Engku Nur Shakir.
Di babak kedua, tuan rumah terus dirundung malang apabila TFC bertalu-talu menyumbat gol.
Mamut mencatat hatrik, dan jaringan lain disempurnakan Safwan Mazlan dan Hakimi Abdullah untuk melengkapkan malam gilang gemilang buat TFC.
Terengganu kekal di tangga keenam, manakala The Red Warriors setia di kedudukan kedua tercorot.